Kadang kadang ada juga orang yang suka menggunakan sebab keikhlasan sebagai alasan untuk tidak melakukan kebaikan. "Ah buat apa nak solat kalau tak ikhlas...", baik tak payah pakai tudung kalau tak ikhlas. Kata-kata seperti itu mungkin kita pernah dengar atau pernah kita ucapkan tanpa sedar dan secara sedar juga.
Tapi tidakkah kita tahu bahawa keikhlasan itu hanya Allah yang tahu, Kita sendiri sebenarnya tidak benar-benar tahu adakah mungkin diri kita ini ikhlas atau tidak melakukan sesuatu kebaikan. Oleh itu, sudah tentu juga kita tidak mampu untuk menghakimi keikhlasan orang lain.
Mungkin ada orang yang akan berkata pula, keikhlasan dapat dirasa dengan lubuk hati kita. Tapi bagaimana, sekiranya rasa ikhlas itu tak dapat juga kita miliki atau dapat pada masa nyawa kita sudah sampai kekerongkong?
Kalau kita fikir-fikirkan semula kenapa tidak kita lakukan kebaikan itu dahulu? Mungkin keikhlasan yang tidak kita ketahui itu, akan datang apabila kita sudah melakukan kebaikan itu. Dalam masa yang saya, tidakkah kita berasa lega kerana perkara yang sudah diperintahkan oleh Allah seperti menutup aurat, berpuasa dan solat sudah kita lakukan. Kita juga yang mendapatkan untungnya kerana sekiranya kita tidak melakukan perkara wajib terutamanya pasti kita akan mendapat dosa, kemurkaan Allah dan dan balasan api neraka.
Sesungguhnya kita tidak mengetahui amalan kita yang mana satu yang dapat menghalang kita daripada dihumbankan ke neraka. Terdapat kisah seorang hamba Allah yang hanya hanya disebabkan memberi minum kepada seekor anjing dapat mehindarkan dirinya daripada neraka kerana amalan itu ikhlas. Oleh itu, kenapa tidak kita lakukan sahaja banyak-banyak kebaikan kerana kita tidak tahu amalan kita yang mana satu yang akan dapat membawa kita ke syurga Allah.
Tetapi walaupun kita tidak tahu keikhlasan yang sebenar, kita juga perlu juga sentiasa meniatkan sesuatu perkara kebaikan yang kita lakukan itu kerana Allah dan ingin beribadat kepadanya kerana amalan yang sedikit tetapi ikhlas kerana Allah adalah lebih baik. Hal ini kerana amalan ikhlas kerana Allah akan diterima olehnya. Kita juga perlu ingat perkara yang wajib memang perlu kita lakukan tanpa sebarang alasan kerana itu perintah Allah. Kita hanyalah hambanya. Apalah kuasa hamba untuk membantah.
Ingatlah, ilmu tanpa amal adalah gila. Amal tanpa ilmu adalah sia-sia. Ikhlas itu penting untuk memastikan amalan kita diterima Allah. Oleh itu berusahalah untuk mengikhlaskan diri kita dalam masa yang sama teruskan melakukan perintah Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan