Ahad, 27 Januari 2013

Puisi - Kuasa

Kuasa

Adakah
Ungkapan itu benar
Perbuatan itu betul

Wajarlah aku meneliti
Layakkah aku mengadili
Perlukah aku halangi

Pantaskah lidah bersuara kalau kuasa memang tiada
Lemahkah diri kalau membenci cuma

Bila,
bahasa tiada suara,
tingkah jadi mainan.

Karya asli : Rayhaan

Adilkah media di Malaysia?

     Semasa saya kecil dahulu, apa-apa sahaja perkara yang saya terima melalui perantara media massa terutama televisyen akan saya telan bulat-bulat. Saya menganggap apa sahaja yang dikeluarkan melalui televisyen seperti siaran berita adalah benar. Pernah juga terfikir sewaktu masih dibangku sekolah dahulu, adakah tuduhan yang dilemparkan kepada beberapa pihak tertentu adalah benar sama sekali. Hal ini kerana, saya hanya menerima dan mendengar perkataan yang keluar daripada mulut sebelah pihak sahaja. Tetapi saya biarkan sahaja persoalan itu terus berlegar dalam fikiran saya  kerana pendedahan saya kepada dunia luar amatlah sedikit kerana media alternatif kurang saya gunakan seperti internet.
 
     Sudah sedia maklum bahawa Malaysia mengamalkan pemerintahan secara demokrasi berpalimen. Bermakna pemerintahan negara bedasarkan suara rakyat melalui beberapa peringkat bermula daripada Dewan Undangan Negeri sehingga Parlimen. Sesuatu rang undang-undung pula perlu mendapatkan persetujuan yang Yang Dipertuan Agung dalam tempoh masa tertentu sebelum dimaktubkan sebagai Akta misalnya. Perlembagaan Malaysia pula adalah perlembangan persekutuan iaitu pembahagian kuasa kerajaan pusat dan negeri adalah secara autonomi. Yang Dipertuan Agung pula tidak berkuasa mutlak kerana perlu mengikut perlembagaan kerana perlembagaan adalah yang utama yang lebih mudah disebut sebagai Raja Berpelembagaan.
 
     Apabila umur saya mencecah 17 tahun, saya lebih terbuka sedikit. Saya mula membaca akhbar Halaqah  dan Suara Pakatan . Walaubagaimanapun saya tidak begitu percaya dengan maklumat yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut. Antara faktornya adalah akhbar tersebut tidak menarik seperti akhbar yang saya baca sebelum ini daripada segi design nya. Tambahan pula radio dan televisyen kelihatan lebih berkuasa. Oleh itu, apa yang saya baca daripada kedua- dua akhbar itu saya hanya pandang enteng sahaja pada masa itu. Pada ketika itu, saya membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, tetapi saya akan melihat mana-mana yang baik daripada kedua-duanya. Saya juga lebih berpihak kepada kerajaan tetapi saya ada simpan sedikitkan kepada pihak pembangkang pada masa itu kerana saya tidak boleh menerima berita hanya daripada sebelah pihak sahaja.
 
     Saya pernah berjumpa dengan orang cina kelantan ketika saya mengambil anugerah kecemerlangan SPM di Hotel Grand Blue Wave. Dia ada memuji bahawa Nik Aziz bagus dan menceritakan pengalaman Nik Aziz yang solat sunat dengan beberapa ulama untuk menurunkan hujan kerana berlaku kemarau di sana. Sebaik sahaja mereka habis solat hujan pun turun. Ya, itu adalah kuasa Allah, dengan izin Allah, tetapi pada masa itu saya ada berasa sedikit kagum dan merasakan tak semua pembangkang adalah jahat seperti yang diuar-uarkan oleh pemberita.
    
     Sekarang, saya sudah berjumpa dengan ramai dan didedahkan dengan lebih banyak maklumat. Saya tertanya-tanya kenapakah media Malaysia siaran televisyen di Malaysia hanya memaparkan maklumat daripada sebelah pilih? Sekiranya mereka berada di pihak yang betul kenapa tidak membenarkan penyiaran berita daripada pihak pembangkang. Pihak pembangkang sudah membuat pemohonan untuk hak penyiaran hampir 50 tahun tetapi masih tidak dibenarkan sehingga sekarang.  Bukankah apabila kedua-dua siaran  televisyem sama ada daripada pihak pembangkang dan kerajaan dipaparkan di media massa, rakyat akan lebih yakin untuk memilih yang mana benar dan salah. Berani kerana benar, semua orang tahu dengan kata-kata ini. Rakyat sekarang lebih berfikiran rasional. Mereka perlu diberi pilihan bukan sahaja mengikut telunjuk dan menelan apa-apa sahaja maklumat yang diberikan kepada mereka.
 
    Sungguh lucu, saya juga pernah terfikirkan perkara ini, sekiranya Anwar Ibrahim salah, kenapa sampai sekarang kesalahan-kesalahannya masih tiada bukti. Hanya tuduhan, tetapi sabit kesalahan belum. Mungkin betul dan mungkin juga salah, saya sendiri tidak dapat memberikan jawapannya. Dalam islam sendiri ada menyatakan bahawa kita perlu memastikan berita yang kita terima adalah benar-benar sahih sebelum membenarkannya. Oleh itu, kini, saya membaca semua akhbar termasuk daripada kerajaan dan pembangkang dan saya akan berfikir secara rasional berdasarkan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya ada. Saya tidak lagi berfikiran jumud terhadap akhbar pembangkang kerana kerana kita juga perlu membuat pembandingan yang sewajarnya kerana kita ada kemampuan untuk membuat perbandingan. Kita juga boleh berfikir logik untuk sesuatu berita yang dipaparkan di akhbar melalui perbandingan maklumat. Apabila akhbar A bekata begitu dan akhbar B berkata begini, sedikit sebanyak, kita juga boleh merasa yang mana satu benar. Tetapi malangnya sehingga sekarang berita daripada siaran televisyen tidak dapat kita bandingkan. Apalah gunanya mendengar berita daripada sebelah pihak sahaja. Adakah boleh kita katakan itu adil? Adakah salah jika masyarakat membuat andaian yang negatif kepada siaran berita pada masa sekarang kalau mereka tidak boleh membuat pembandingan? dan adakah boleh kita menghukum atau menuduh pihak yang lain tanpa mendengar sendiri daripada mulut mereka? Ya, hak penyiaran untuk pihak pembangkang amatlah perlu supaya keadilan yang sebenar-benarnya dapat dilihat serta kebenaran dapat disingkap  
  
 Sampai bilakah negara kita boleh menjadi negara yang demokrasi dengan istilah yang sebenar-benarnya? Tepuk dada tanyalah iman.
     

Sabtu, 26 Januari 2013

Keikhlasan : Ikhlaskah kita?

     Kadang kadang ada juga orang yang suka menggunakan sebab keikhlasan sebagai alasan untuk tidak melakukan kebaikan. "Ah buat apa nak solat kalau tak ikhlas...", baik tak payah pakai tudung kalau tak ikhlas. Kata-kata seperti itu mungkin kita pernah dengar atau pernah kita ucapkan tanpa sedar dan secara sedar juga.
     Tapi tidakkah kita tahu bahawa keikhlasan itu hanya Allah yang tahu, Kita sendiri sebenarnya tidak benar-benar tahu adakah mungkin diri kita ini ikhlas atau tidak melakukan sesuatu kebaikan. Oleh itu, sudah tentu juga kita tidak mampu untuk menghakimi keikhlasan orang lain.
     Mungkin ada orang yang akan berkata pula, keikhlasan dapat dirasa dengan lubuk hati kita. Tapi bagaimana, sekiranya rasa ikhlas itu tak dapat juga kita miliki atau dapat pada masa nyawa kita sudah sampai kekerongkong?
     Kalau kita fikir-fikirkan semula kenapa tidak kita lakukan kebaikan itu dahulu? Mungkin keikhlasan yang tidak kita ketahui itu, akan datang apabila kita sudah melakukan kebaikan itu. Dalam masa yang saya, tidakkah kita berasa lega kerana perkara yang sudah diperintahkan oleh Allah seperti menutup aurat, berpuasa dan solat sudah kita lakukan. Kita juga yang mendapatkan untungnya kerana sekiranya kita tidak melakukan perkara wajib terutamanya pasti kita akan mendapat dosa, kemurkaan Allah dan dan balasan api neraka.
     Sesungguhnya kita tidak mengetahui amalan kita yang mana satu yang dapat menghalang kita daripada dihumbankan ke neraka. Terdapat kisah seorang hamba Allah yang hanya hanya disebabkan memberi minum kepada seekor anjing dapat mehindarkan dirinya daripada neraka kerana amalan itu ikhlas. Oleh itu, kenapa tidak kita lakukan sahaja banyak-banyak kebaikan kerana kita tidak tahu amalan kita yang mana satu yang akan dapat membawa kita ke syurga Allah.
     Tetapi walaupun kita tidak tahu keikhlasan yang sebenar, kita juga perlu juga sentiasa meniatkan sesuatu perkara kebaikan yang kita lakukan itu kerana Allah dan ingin beribadat kepadanya kerana amalan yang sedikit tetapi ikhlas kerana Allah adalah lebih baik. Hal ini kerana amalan ikhlas kerana Allah akan diterima olehnya. Kita juga perlu ingat perkara yang wajib  memang perlu kita lakukan tanpa sebarang alasan kerana itu perintah Allah. Kita hanyalah hambanya. Apalah kuasa hamba untuk membantah.
     Ingatlah, ilmu tanpa amal adalah gila. Amal tanpa ilmu adalah sia-sia. Ikhlas itu penting untuk memastikan amalan kita diterima Allah. Oleh itu berusahalah untuk mengikhlaskan diri kita dalam masa yang sama teruskan melakukan perintah Allah.