Khamis, 21 November 2013

Jam Baby-G

Sekarang aku pakai jam Baby-G pulak. Taukey kedai tu cakao,jam ni tahan. Tak tahulah aku. Tengok je lah sampai bila jam ini boleh bertahan dengan keganasan aku. Harganya lingkungan 
RM 350

Jam elle tak tahan

Aku beli jam ni dalam RM250. Lepas hampir setahun pakai,dah tak berjalan dah jam ni. Aku rasa kalau korang semua jenis yang ganas macam aku tak payah lah beli jam tangan Elle. Kene beli jam yang jenis sport gitu. Membazir je aku beli jam ni. Tak balik modal.

Kenapa Meremehkan Solat

      Kenapa susah sangat nak solat. Nak-nak umur dah semakin meningkat. Susah sangat ke? Kalau aku tengok kawan-kawan aku sebegitu. Pertanyaan itulah yang sentiasa dalam pemikiranku. Bukan mereka tak tahu wajib. Bukan mereka tak tahu siksaan Allah. Tapi kenapa lakukan jugak?

    Banyak situasi yang selalu menjadi penyebab mereka tak solat. Antaranya, bangun lambat, penat, tertidur(walaupun saya dah kejut,tidur balik), cakap badan kotor lalu nak mandi dulu(padahal dah nak habis solat). Baru sebentar tadi, aku terdengar perbualan rakan serumah aku, masa perkhemahan, dia tak solat langsung subuh, dan juga tak solat sebab baju kotor, dia cakap memang tak lah kalau nak solat. Baru beberapa hari ini dia cakap tak solat pun jamak sebab tak nampak masjid(hey banyak lah masjid), dan sebab naik teksi(nantikan mahal kalau nak bayar sampai dua kali tambang teksi). 

     Berapa banyak alasan kita sebenarnya? Kenapa banyak sangat. Kenapa alasan itu menjadi punca untuk tak solat?  Solat itukan tiang agama. Tak perasan ke, assignment yang lecturer bagi walaupun susah macam mana pun boleh buat tapi solat yang hanya beberapa minit tak boleh lakukan? Masa kat asrama ada juga beberapa orang kawan aku yang memang tak akan tinggal solat subuh, dan yang lain kalau aku kejut solat subuh, memang bangunlah. Boleh diterimalah kan. Asalkan kejut pasti solat. Bagaimana orang yang dah kejut tapi tidur balik dan tak solat pun?

     Memang patutkan marah? Suruhan agama tu wey. Tapi kalau aku marah diorang, how annoying me they will say? Aku tak ada kuasa, bagaimana nak menegur. Ya iman aku memang lemah, sebab membenci dalam hatikan? 
 
        Apa pendapat anda? Bagaimana nak menghadapi orang seperti ini? 


Selasa, 19 November 2013

Mula

Puisi - Mula

Belum mula,banyak masa
Belum mula,malas pula
Belum mula,macam payah
Belum mula,nanti penat
Belum mula,takut tekanan
Belum mula,tak nak fikir

Menggunung alasan , berguni cabaran
Kalau tak mula,itulah rasanya
Kalau dah mula,mudah rupanya
Kau tak percaya?
Mengapa tak dicuba?

Karya asli : Rayhaan Hale

Jumaat, 15 November 2013

Kawal

Puisi - Kawal

Pernah suka, pentingkah diluah?
Pernah minat, pentingkah ditunjuk?
Kenapa nak diluah
Kenapa nak ditunjuk
Cintakan belum wujud

Cinta takkan dibina
Kalau belum disah

Kalau akal itu diatas
Takkan rasanya  tak terkawal

Karya asli - Rayhaan Hale

Puisi - Helah Solatmu

Helah solatmu

Kau mengantuk, kau tak endahkan subuh
Kau sibuk, kau lupa zohor
Kau penat, kau tinggalkan asar
Rungutmu pendek masanya,berlalulah maghribmu
Selesamu panjang masanya, kau lupa isyak?

Lantaran tidak kisahmu
Bagaimana tiang cara hidupmu?

Karya asli : Rayhaan Hale

Perkara dah jadi

Selepas keputusan SPM aku keluar pada tahun 2010 aku memang dah set dalam fikiran aku nak sambung STPM. Sebabnya aku rasa pada STPM ni merupakan jalan paling pantas aku untuk amik degree. Aku fikir kalau aku sambung diploma aku perlu habiskan masa 3 tahun berbanding STPM hanya 1 tahun setengah. Walaubagaimanapun, aku tetap juga saja-saja mohon upu dalam bidang seni kulinari. Lupa pulak. Keputusan SPM aku 7A 2B. Ramai kawan aku yg dapat keputusan hampir sama dengan aku masuk asasi,diploma,matrik, tapi aku memang tak ada hati nak sambung. Mungkin masa itu aku tak berapa pasti minat aku yang sebenarnya. Ya,aku tak terfikir langsung nak masuk asasi. Then,walaupun aku dapat tawaran untuk sambung dalam bidang seni kulinari,aku decline sebab nak masuk form 6. Aku ni memang minat ekonomi. So,masa form 6 aku ambillah ekonomi. Nak dipendekkan cerita STPM 2011 aku dapat 3.83.

        Sebenarnya perkara utama yang aku tengok untuk apa-apa sahaja institusi yang aku pilih untuk belajar ialah masa. Bagi aku masa adalah perkara terpenting. So masa aku nak buat pilihan upu, aku buat UKM sebagai pilihan utama, pilihan kedua UPM, pilihan ketiga UIAM. Aku tak expect untuk dapat UIAM pun sebab aku rasa aku boleh dapat UKM(ukm 3 tahun untuk degree business). Tup tup aku dapat UIAM. Sedih sangat-sangat sebab aku tak dapat UKM dan UIA 4 tahun dan yang paling sedih aku tak jadikan UiTM sebagai pilihan ke-3 aku. Sebenarnya sebab aku tak nak pilih UiTM sebagai pilihan ketiga sebab aku takut dapat UiTM yang dekat dengan negeri aku. Konon-konon masa tu nak belajar jauh-jauh sikit. Dan sebab lokasi jugaklah aku tak pilih UTM skudai. UTM memang tak ada dalam mana-mana pilihan aku dalam upu pun(sekarang menyesal jugak sebab aku rasa lagi dekat lagi dapat selalu balik)

       Sekarang walaupun aku dah pindah ke UiTM lepas withdrew daripada UIAM aku tetap rasa menyesal. Sebabnya, aku dah rugi satu sem sebab aku masuk UIAM bulan 9 2012, lepas tu keluar UIAM dalam bulan 2 2013, then, masuk UiTM bulan 3 2013. Sebab lainnya, baru aku tahu yang UiTM ada sistem penyerapan pelajar dan pengecualian kredit(yang ni memang sangat-sangat geram sebab tahu pun lepas masuk UiTM). 

        Tak baik sebenarnya cakap kalaulah, tapi aku nak kongsi juga supaya nanti tak ada orang yang mnyesal macam aku. Aku terfikir balik kalaulah aku ambil diploma atau asasi di UiTM, sekarang aku dah sem 5 dah kat UiTM(sekarang aku sem 2). 

           Tapi aku tahu mesti ada hikmah disebalik semua itu, ya aku happy sekarang sebab dapat ambil subjek yang aku minat Business Economic. Walaubagaimanapun kita kena reda jugak kan?Terima saja lah Qada' dan Qadar-Nya.


Puisi - Sama

~Sama

Kalau lelaki tertarik pada cantiknya,Tak kau cerca?
Kalau wanita tertarik pada hartanya, Kau cerca?
Kenapa ada bezakannya?
Kalau cantiknya hilang, hilanglah cintanya
Kalau hartanya hilang, hilanglah cintanya
Samakan kesannya

Karya asli : Rayhaan Hale






Ahad, 27 Januari 2013

Puisi - Kuasa

Kuasa

Adakah
Ungkapan itu benar
Perbuatan itu betul

Wajarlah aku meneliti
Layakkah aku mengadili
Perlukah aku halangi

Pantaskah lidah bersuara kalau kuasa memang tiada
Lemahkah diri kalau membenci cuma

Bila,
bahasa tiada suara,
tingkah jadi mainan.

Karya asli : Rayhaan

Adilkah media di Malaysia?

     Semasa saya kecil dahulu, apa-apa sahaja perkara yang saya terima melalui perantara media massa terutama televisyen akan saya telan bulat-bulat. Saya menganggap apa sahaja yang dikeluarkan melalui televisyen seperti siaran berita adalah benar. Pernah juga terfikir sewaktu masih dibangku sekolah dahulu, adakah tuduhan yang dilemparkan kepada beberapa pihak tertentu adalah benar sama sekali. Hal ini kerana, saya hanya menerima dan mendengar perkataan yang keluar daripada mulut sebelah pihak sahaja. Tetapi saya biarkan sahaja persoalan itu terus berlegar dalam fikiran saya  kerana pendedahan saya kepada dunia luar amatlah sedikit kerana media alternatif kurang saya gunakan seperti internet.
 
     Sudah sedia maklum bahawa Malaysia mengamalkan pemerintahan secara demokrasi berpalimen. Bermakna pemerintahan negara bedasarkan suara rakyat melalui beberapa peringkat bermula daripada Dewan Undangan Negeri sehingga Parlimen. Sesuatu rang undang-undung pula perlu mendapatkan persetujuan yang Yang Dipertuan Agung dalam tempoh masa tertentu sebelum dimaktubkan sebagai Akta misalnya. Perlembagaan Malaysia pula adalah perlembangan persekutuan iaitu pembahagian kuasa kerajaan pusat dan negeri adalah secara autonomi. Yang Dipertuan Agung pula tidak berkuasa mutlak kerana perlu mengikut perlembagaan kerana perlembagaan adalah yang utama yang lebih mudah disebut sebagai Raja Berpelembagaan.
 
     Apabila umur saya mencecah 17 tahun, saya lebih terbuka sedikit. Saya mula membaca akhbar Halaqah  dan Suara Pakatan . Walaubagaimanapun saya tidak begitu percaya dengan maklumat yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut. Antara faktornya adalah akhbar tersebut tidak menarik seperti akhbar yang saya baca sebelum ini daripada segi design nya. Tambahan pula radio dan televisyen kelihatan lebih berkuasa. Oleh itu, apa yang saya baca daripada kedua- dua akhbar itu saya hanya pandang enteng sahaja pada masa itu. Pada ketika itu, saya membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, tetapi saya akan melihat mana-mana yang baik daripada kedua-duanya. Saya juga lebih berpihak kepada kerajaan tetapi saya ada simpan sedikitkan kepada pihak pembangkang pada masa itu kerana saya tidak boleh menerima berita hanya daripada sebelah pihak sahaja.
 
     Saya pernah berjumpa dengan orang cina kelantan ketika saya mengambil anugerah kecemerlangan SPM di Hotel Grand Blue Wave. Dia ada memuji bahawa Nik Aziz bagus dan menceritakan pengalaman Nik Aziz yang solat sunat dengan beberapa ulama untuk menurunkan hujan kerana berlaku kemarau di sana. Sebaik sahaja mereka habis solat hujan pun turun. Ya, itu adalah kuasa Allah, dengan izin Allah, tetapi pada masa itu saya ada berasa sedikit kagum dan merasakan tak semua pembangkang adalah jahat seperti yang diuar-uarkan oleh pemberita.
    
     Sekarang, saya sudah berjumpa dengan ramai dan didedahkan dengan lebih banyak maklumat. Saya tertanya-tanya kenapakah media Malaysia siaran televisyen di Malaysia hanya memaparkan maklumat daripada sebelah pilih? Sekiranya mereka berada di pihak yang betul kenapa tidak membenarkan penyiaran berita daripada pihak pembangkang. Pihak pembangkang sudah membuat pemohonan untuk hak penyiaran hampir 50 tahun tetapi masih tidak dibenarkan sehingga sekarang.  Bukankah apabila kedua-dua siaran  televisyem sama ada daripada pihak pembangkang dan kerajaan dipaparkan di media massa, rakyat akan lebih yakin untuk memilih yang mana benar dan salah. Berani kerana benar, semua orang tahu dengan kata-kata ini. Rakyat sekarang lebih berfikiran rasional. Mereka perlu diberi pilihan bukan sahaja mengikut telunjuk dan menelan apa-apa sahaja maklumat yang diberikan kepada mereka.
 
    Sungguh lucu, saya juga pernah terfikirkan perkara ini, sekiranya Anwar Ibrahim salah, kenapa sampai sekarang kesalahan-kesalahannya masih tiada bukti. Hanya tuduhan, tetapi sabit kesalahan belum. Mungkin betul dan mungkin juga salah, saya sendiri tidak dapat memberikan jawapannya. Dalam islam sendiri ada menyatakan bahawa kita perlu memastikan berita yang kita terima adalah benar-benar sahih sebelum membenarkannya. Oleh itu, kini, saya membaca semua akhbar termasuk daripada kerajaan dan pembangkang dan saya akan berfikir secara rasional berdasarkan pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya ada. Saya tidak lagi berfikiran jumud terhadap akhbar pembangkang kerana kerana kita juga perlu membuat pembandingan yang sewajarnya kerana kita ada kemampuan untuk membuat perbandingan. Kita juga boleh berfikir logik untuk sesuatu berita yang dipaparkan di akhbar melalui perbandingan maklumat. Apabila akhbar A bekata begitu dan akhbar B berkata begini, sedikit sebanyak, kita juga boleh merasa yang mana satu benar. Tetapi malangnya sehingga sekarang berita daripada siaran televisyen tidak dapat kita bandingkan. Apalah gunanya mendengar berita daripada sebelah pihak sahaja. Adakah boleh kita katakan itu adil? Adakah salah jika masyarakat membuat andaian yang negatif kepada siaran berita pada masa sekarang kalau mereka tidak boleh membuat pembandingan? dan adakah boleh kita menghukum atau menuduh pihak yang lain tanpa mendengar sendiri daripada mulut mereka? Ya, hak penyiaran untuk pihak pembangkang amatlah perlu supaya keadilan yang sebenar-benarnya dapat dilihat serta kebenaran dapat disingkap  
  
 Sampai bilakah negara kita boleh menjadi negara yang demokrasi dengan istilah yang sebenar-benarnya? Tepuk dada tanyalah iman.
     

Sabtu, 26 Januari 2013

Keikhlasan : Ikhlaskah kita?

     Kadang kadang ada juga orang yang suka menggunakan sebab keikhlasan sebagai alasan untuk tidak melakukan kebaikan. "Ah buat apa nak solat kalau tak ikhlas...", baik tak payah pakai tudung kalau tak ikhlas. Kata-kata seperti itu mungkin kita pernah dengar atau pernah kita ucapkan tanpa sedar dan secara sedar juga.
     Tapi tidakkah kita tahu bahawa keikhlasan itu hanya Allah yang tahu, Kita sendiri sebenarnya tidak benar-benar tahu adakah mungkin diri kita ini ikhlas atau tidak melakukan sesuatu kebaikan. Oleh itu, sudah tentu juga kita tidak mampu untuk menghakimi keikhlasan orang lain.
     Mungkin ada orang yang akan berkata pula, keikhlasan dapat dirasa dengan lubuk hati kita. Tapi bagaimana, sekiranya rasa ikhlas itu tak dapat juga kita miliki atau dapat pada masa nyawa kita sudah sampai kekerongkong?
     Kalau kita fikir-fikirkan semula kenapa tidak kita lakukan kebaikan itu dahulu? Mungkin keikhlasan yang tidak kita ketahui itu, akan datang apabila kita sudah melakukan kebaikan itu. Dalam masa yang saya, tidakkah kita berasa lega kerana perkara yang sudah diperintahkan oleh Allah seperti menutup aurat, berpuasa dan solat sudah kita lakukan. Kita juga yang mendapatkan untungnya kerana sekiranya kita tidak melakukan perkara wajib terutamanya pasti kita akan mendapat dosa, kemurkaan Allah dan dan balasan api neraka.
     Sesungguhnya kita tidak mengetahui amalan kita yang mana satu yang dapat menghalang kita daripada dihumbankan ke neraka. Terdapat kisah seorang hamba Allah yang hanya hanya disebabkan memberi minum kepada seekor anjing dapat mehindarkan dirinya daripada neraka kerana amalan itu ikhlas. Oleh itu, kenapa tidak kita lakukan sahaja banyak-banyak kebaikan kerana kita tidak tahu amalan kita yang mana satu yang akan dapat membawa kita ke syurga Allah.
     Tetapi walaupun kita tidak tahu keikhlasan yang sebenar, kita juga perlu juga sentiasa meniatkan sesuatu perkara kebaikan yang kita lakukan itu kerana Allah dan ingin beribadat kepadanya kerana amalan yang sedikit tetapi ikhlas kerana Allah adalah lebih baik. Hal ini kerana amalan ikhlas kerana Allah akan diterima olehnya. Kita juga perlu ingat perkara yang wajib  memang perlu kita lakukan tanpa sebarang alasan kerana itu perintah Allah. Kita hanyalah hambanya. Apalah kuasa hamba untuk membantah.
     Ingatlah, ilmu tanpa amal adalah gila. Amal tanpa ilmu adalah sia-sia. Ikhlas itu penting untuk memastikan amalan kita diterima Allah. Oleh itu berusahalah untuk mengikhlaskan diri kita dalam masa yang sama teruskan melakukan perintah Allah.